TRIPLE T DALAM HARIAN METRO

Perubahan gaya hidup memberi impak besar kepada kemerosotan tahap kesihatan manusia.

Fakta paling nyata memperlihatkan penduduk negara ini menduduki tangga pertama bagi masalah kegemukan di dunia.

Mereka juga berisiko menghidap penyakit tiga serangkai seperti jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Umum mengetahui herba adalah tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat dari aspek perubatan.

Penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Dr Norazlanshah Hazali antara penggerak kepada usaha memartabatkan industri herba.

Bermula dari 2005, Dr Norazlanshah atau lebih mesra dengan Dr Azlan yang juga pakar dalam bidang toksikologi, keselamatan dan terapi makanan memperolehi lebih 20 geran penyelidikan bernilai lebih RM1 juta iaitu daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Herba dan buah nadir tempatan antara bahan penyelidikannya.

Dr Azlan juga peneraju produk penyelidikan (R&D) berkualiti premium.

Formula yang dibangunkan menerusi pelbagai ujian termasuk ketoksikan membolehkan produk selamat dipasarkan.

“Penyelidikan yang dijalankan perlu mempunyai nilai komersial dan diperlukan masyarakat.

“Jika ia memberi impak untuk dipasarkan, maka tujuan penyelidikan lebih bermatlamat berbanding tanpa hala tuju,” katanya.

Melihat kepada masalah kegemukan dihadapi penduduk negara ini, beliau membangunkan produk Kopi Durian Emas.

“Penyelidikan saya mendapati gabungan ekstrak durian terpilih dan biji kopi hijau dapat melangsingkan badan.

“Kopi hijau terpilih mengandungi antioksidan tinggi yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Dia juga menjalankan penyelidikan terhadap herba misai kucing, mas cotek dan teh hijau untuk produk teh Triple-T.

“Gabungan formulasi herba membantu mengekalkan kesihatan hati, buah pinggang dan jantung,” katanya.

Dr Azlan berkata, dia turut membangunkan sabun herba yang selamat untuk masalah ekzema, resdung dan jerawat terutama dalam kalangan remaja serta selamat digunakan oleh kanak-kanak.

“Saya juga buat slaid histologi dan tiga organ penting dipotong pada kadar kecil dan buat persediaan slaid mikroskop untuk melihat tahap kerosakan sel.

“Selepas kajian keselamatan, ketoksikan dan keberkesanan selesai barulah formulasi yang terpilih digunakan untuk melihat tahap penerimaan manusia,” katanya.

Dr Azlan turut menyumbang lebih dari 30 penulisan jurnal dan artikel ilmiah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Hasil penyelidikan dan produk komersialnya memenangi lebih 20 pingat di peringkat nasional dan antarabangsa.